Peserta dari Guam, Sean Lipanovich, muncul juara kategori utama MX2 Kejohanan Motocross Asia FIM 2017 di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.

Selaku juara, pelumba berusia 27 tahun itu membawa pulang wang tunai USD1,000 serta piala iringan.

Tempat kedua menjadi milik peserta Thailand, Caiyan Romphan, manakala peserta Malaysia, Muhammad Habibullah Mohd Saleh, ketiga, dengan masing-masing meraih USD900 dan USD800 serta piala.

“Kejayaan ini sangat manis selepas saya menamatkan perlumbaan pada 2015 di kedudukan terakhir gara-gara masalah teknikal," kata Lipanovich.

“Saingan cukup hebat diberikan pelumba lain, terutama Romphan, dan strategi saya untuk mendahului sejak awal perlumbaan ternyata membuahkan hasil.

“Memang menjadi sasaran saya untuk bergelar juara dan dengan mengekalkan pecutan sepanjang perlumbaan serta menjarakkan kedudukan beberapa saat di depan, saya berjaya dalam percubaan tahun ini.

“Selepas ini, saya akan kembali ke pusat latihan di California untuk meneruskan latihan serta memberi bimbingan kepada pelumba-pelumba muda.”

Kategori veteran pula dimenangi peserta Thailand, Azhary Lateh, yang membawa pulang wang tunai USD300 dan piala.

Peserta Malaysia, Rizal Zakaria (USD240) dan Dr Suhaimi Said (USD200) masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.

Seramai 98 peserta dari dalam dan luar negara berentap selama tiga hari dan mengambil bahagian dalam tujuh kategori yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM300,000 itu.