Penunggang Pasukan Endurance RGJHJ, Nuqman Faris Rozi, muncul juara acara 40km individu selepas mengetepikan cabaran sengit dua penunggang lain dalam Kejohanan Kuda Lasak Piala Menteri Besar Terengganu di Terengganu International Endurance Park (TIEP), petang semalam.

Nuqman Faris, 20, mencatat masa 2 jam 28 minit 02 saat dengan purata kelajuan 16.213km/j untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM3,500, medal dan trofi.

Tempat kedua milik Mohd Azizie Ismail dari Royal Kelantan Endurance (2'28:03) dengan purata kelajuan 16.211km/j manakala Asmurairi Abdullah di kedudukan ketiga (2'28:06 - 16.077km/j).

Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima wang tunai RM3,000 dan RM 2,500, medal berserta trofi iringan.

Sementara itu, acara tumpuan 80km (CEI) menyaksikan penunggang negara, Muhd Bulkhari Rozali, menepati ramalan untuk muncul juara dengan catatan masa 3 jam 49 minit 40 saat dengan purata kelajuan 20.900km/j.

Penunggang yang mewakili Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) itu memenangi wang tunai RM3,000 dan medal.

Muhd Yusran Yusuf yang menamatkan perlumbaan dalam tempoh 4 jam 22 minit 03 saat (18.317km/j) di tempat kedua dan Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani (5'02:44) dengan purata kelajuan 15.856km/j sekadar kedudukan ketiga.

Masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000 dan RM1,000 berserta medal.

Kejohanan dua hari itu menarik penyertaan 159 peserta dalam kesemua acara -- penyertaan terbesar dalam Malaysia.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, sambil diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.