Dengan pelbagai kemudahan dan prasarana bertaraf dunia yang tersedia, Kuching kini komited untuk muncul sebagai "Bandar Raya Sukan."

Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Abdul Wahap Julai, berkata ia sejajar dengan usaha negeri ini untuk muncul sebagai sebuah "kuasa sukan" di negara ini dalam tempoh terdekat.

"Ini sesuatu yang sedang kita usahakan ketika ini," katanya ketika ditemui pada Hari Sarapan Terbesar Milo 2017 di Pustaka Negeri Sarawak di Kuching, pagi tadi.

Kuching kini saban minggu menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara sukan, baik yang berbentuk sukan massa mahupun sukan tradisi dan ekstrem.

Malah, bandar raya ini menjadi tuan rumah Sukan Malaysia pada Julai lalu dan kini menjadi tuan rumah Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia Celcom Axiata .

Abang Abdul Wahab berkata pihaknya menyokong penuh penganjuran aktiviti riadah dan sukan di bandar raya ini kerana selain mempromosi budaya hidup sihat, ia juga menjadi ruang untuk merapatkan ikatan kekeluargaan.

"Persekitaran sekarang terlalu sibuk dan sukar untuk ibu bapa moden. Mereka kesuntukan masa, tiada tempat dan tiada acara untuk membawa anak-anak untuk beriadah dan bersukan.

"Kerana itulah aktiviti bersukan, malah fun run seperti ini, boleh dijadikan tempat untuk mengakrabkan kembali hubungan," katanya.

Bagi mencungkil bakat sukan pula, beliau menyarankan persatuan-persatuan sukan di Sarawak turut menganjurkan banyak aktiviti agar Sarawak sentiasa dapat melahirkan atlet berkualiti dalam pelbagai bidang.

Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), katanya, turut menggariskan perkara ini dalam pelan perancangannya dengan melibatkan komuniti setempat.

"Kita mahu menerapkan budaya bersukan, keluarga sihat dan sejahtera dalam kalangan warga Kuching, seterusnya menyemai nilai pemilikan bersama terhadap semua aset DBKU yang ada.

"Ini termasuk kemudahan dan peralatan untuk riadah, rekreasi dan sukan," jelasnya yang berharap bandar raya ini terus menghasilkan atlet-atlet hebat seperti Bala "Kuda" Ditta, Pandelela Rinong dan Tania Bugo.

Ia bukan sesuatu yang mustahil kerana bandar raya ini kini dipenuhi prasarana sukan bertaraf Olimpik, yang boleh digunakan untuk orang awam.

Lebih 7,000 peserta menyertai pelbagai program yang disediakan, termasuk Larian Sarapan Milo Malaysia sejauh 3 kilometer dan zumba.

Ia merupakan program ketiga daripada tujuh siri yang diadakan, dengan sebelum ini di Kota Kinabalu.