Epidemik novel koronavirus yang sedang melanda seluruh dunia ketika ini tidak menggugat semangat skuad besbol wanita negara untuk memulakan pencarian mata ranking dunia dalam Kejohanan Besbol Wanita Antarabangsa Piala Phoenix di Hong Kong bulan depan.

Skuad negara akan membuka cabaran tahun ini dengan misi penting bagi menempatkan Malaysia dalam kedudukan ranking dunia.

Walaupun akan bersaing dengan negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Hong Kong dan Jepun, ketua jurulatih, Sazali Husain, yakin skuad kendaliannya itu sudah bersedia sambil menegaskan pihak penganjur sedang melakukan pemantauan bagi memastikan wabak koronavirus tidak menjejaskan kejohanan itu.

"Kejohanan di Hong Kong paling penting kerana ia merupakan mata pertama yang kami akan kutip bagi ranking dunia.

"Kami telah menyelesaikan beberapa masalah dalam serangan atau pukulan.

"Alhamdulillah, ia sangat positif dan kami dapat beberapa pemain baru untuk bertahan.

"Pihak pengurusan memantau keadaan (wabak koronavirus) dan berhubung terus dengan pihak penganjur di Hong Kong.

"Mereka akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa.

"Buat masa ini, jadual perlawanan akan berjalan seperti biasa," katanya.



Editor: Muzaffar Musa