Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengambil keputusan untuk tidak mengekalkan jurulatih luar, Frank Petrovic dan Victor Sotnikov, bagi musim depan selepas gagal membantu negara membutirkan pingat dalam Sukan Asia Indonesia, September lalu.

Sotnikov selaku jurulatih buat atlet lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail, dan Petrovic yang membimbing atlet lempar cakera, Irfan Shamsuddin, tidak lagi menerima kepercayaan KOM selepas aksi hambar dalam dua temasya utama tahun ini.

Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim, menjelaskan pengalaman mereka selama hampir 10 tahun di Malaysia sepatutnya sudah mampu melahirkan atlet berpotensi tinggi di peringkat Asia dan bukan sekadar di pentas Asia Tenggara.

Selain itu, jurulatih lompat tinggi dari Australia, Alex Stewart, juga tiada dalam perancangan KOM untuk terus melatih Nauraj Singh dan Lee Hup Wei tahun depan.

"Kami telah berbelanja beberapa juta ringgit terhadap jurulatih itu. Ia sudah mengambil masa selama 10 ke 20 tahun. Jika ia mencecah 20 tahun dan mereka gagal melahirkan atlet yang mampu meraih pingat emas dalam Sukan Asia, bermakna kami terlepas empat edisi kejohanan itu," kata Karim.

Sementara itu, KOM kini dalam proses menyenaraipendekkan calon jurulatih dari Amerika Syarikat untuk membantu empat pelari pecut, iaitu Zaidatul Husniah Zulkifli, Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa dan Azreen Nabila Alias bermula Januari depan.

"Ini telah dipersetujui oleh jurulatih tempatan agar dapat melahirkan atlet bertaraf Asia. Khidmat jurulatih pakar dari mana-mana negara seperti Amerika Syarikat yang telah membuktikan kemampuan mereka bagi berkongsi ilmu mungkin diperlukan."