Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) kini dalam perancangan untuk merangka program pengkhususan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan memberi peluang sama rata buat kesemua atlet olahraga yang mahu beraksi dalam temasya itu Julai depan.

KOM menjadi salah satu persatuan sukan yang mencapai sasaran ketika Sukan SEA Filipina 2019, sekali gus memberi keyakinan buat Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membantu atlet olahraga daripada segi peruntukan bersaing dalam kejohanan luar tahun ini.

Keutamaannya adalah atlet terlibat harus mencapai syarat had minimum kelayakan ke Olimpik Tokyo 2020 tatkala KOM akan memberi peluang sama rata buat semua atlet di bawah persatuan itu.

Program khusus skuad olahraga ke Tokyo 2020 masih dirangka dan ketua jurulatih, Manshahar Abd Jalil, akan berbincang dengan semua pengendali untuk mengenal pasti kejohanan yang perlu disertai.

"Ia satu cadangan baik, kami tidak fokus kepada seorang atlet. Kebiasaannya, saingan Olimpik dikira secara merit. Namun, atlet yang berkemungkinan memenangi pingat untuk ke Sukan Asia akan diberi peluang," kata Timbalan Presiden KOM, Datuk Mumtaz Jaafar.

Tarikh tamat kelayakan ke Olimpik Tokyo 2020 adalah 26 Jun depan.

Dalam temasya Rio 2016, Malaysia diwakili atlet lompat tinggi, Nauraj Singh, yang layak secara merit sambil pelari pecut wanita, Zaidatul Husniah Zulkifli, pula beraksi dalam acara 100 meter atas tiket 'wildcard'.

"Terpulang kepada jurulatih. Untuk mencari kejohanan memang sukar tetapi kami harus mendapatkan negara yang terdekat untuk mereka bertanding," tambah Mumtaz.




Editor: Nafis Abdullah