Timbalan Presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia (MWFR), Khairy Jamaluddin, meminta agar siasatan berkenaan pencalonannya untuk merebut jawatan presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dilakukan sebelum mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu, Sabtu ini.

Sebelum ini, pencalonannya yang dilakukan pada saat-saat akhir dan statusnya dalam MWFR didakwa menimbulkan keraguan, namun beliau berasakan layak untuk bertanding kerana tidak melanggar mana-mana peraturan yang ditetapkan.

Bekas menteri belia dan sukan itu menjelaskan beliau dilantik sebagai timbalan presiden MWFR melalui AGM pada Februari lalu setelah setiausaha persatuan berkenaan, Dr. Ang Kean Koo, memaklumkan kepadanya tentang kekosongan jawatan berkenaan.

"Mesyusarat agung ialah pada Sabtu ini, jadi saya harap perkara ini diselesaikan sebelum hari Sabtulah sebab kita tidak mahu AGM tersebut dibatalkan kerana (terdapat) pertikaian.

"Perkara itu saya serahkan kepada MPM yang sedia ada untuk membuat apa sahaja perbincangan," katanya.

Tambahnya, gelaran bekas menteri belia dan sukan bukan tiket untuk beliau merebut jawatan itu dengan mudah sambil menganggap pencabarnya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, sebagai pencabar yang berpotensi.

"Saya mempunyai beberapa idea yang saya nak kongsikan dengan komuniti sukan para.

"Sebagai contoh, sewaktu saya menjadi menteri, kami telah memulakan satu program di bawah KBS (Kementerian Belia dan Sukan) yang dinamakan i-talent dan Inspire.

"Ia merupakan program pembangunan dan pencarian bakat untuk remaja-remaja kelainan upaya supaya mereka terdedah dengan sukan para," tambahnya.