Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, menjadi salah seorang daripada 12 atlet negara yang disenarai pendek untuk acara polo berpasukan di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden Kelab Polo Putra, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, yang berkata Khairy layak secara merit berdasarkan pemilihan dibuat oleh Persatuan Polo Diraja Malaysia (RMPA).

Selain Khairy, pasukan polo negara dianggotai sepenuhnya sebahagian besar pemain profesional yang pernah beraksi di Sukan SEA Korat.

Norza turut melahirkan keyakinan pasukan polo negara mampu mempertahankan pingat emas yang dimenangi di temasya sukan serantau pada 2007 itu.

“Dua belas pemain termasuk saudara Khairy Jamaluddin, termasuk beberapa pemain-pemain profesional yang beraksi di Korat, saya yakin dan percaya pemain yang terpilih akan disenarai pendek untuk mewakili negara," kata Norza.

Sukan SEA Kuala Lumpur akan berlangsung pada 19 hingga 31 Ogos tahun depan.

Dalam pada itu, bagi edisi kesembilan Kejohanan Polo Terbuka Malaysia yang akan diadakan pada 10 hingga 23 Oktober ini, Norza mengesahkan tujuh pasukan yang akan mengambil bahagian.

Berbanding tahun lalu, Norza melihat semua pasukan kini lebih bersedia selain turut mendapatkan peserta dan kuda dari Argentina.

“Tahun lalu, kami telah dapat menyediakan enam pasukan. Saya percaya cabaran lebih sukar buat kejohanan tahun ini kerana ada pasukan yang telah mendapatkan import dari Argentina.”