Pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan dan Zaidatul Husniah Zulkifli, mencipta kejutan apabila muncul pelari yang memiliki catatan terpantas Asia Tenggara musim 2016, sekali gus memberi amaran awal kepada pesaing dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos depan.

Perkembangan itu menyaksikan Malaysia berpeluang merampas kembali gelaran raja dan ratu pecut dalam temasya terbesar Asia Tenggara itu.

Lebih menarik apabila dalam acara 100m lelaki, tiga pelari negara mencatat masa terpantas tahun lalu, diketuai Khairul Hafiz dengan 10.18 saat yang juga rekod kebangsaan.

Berada di belakangnya, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Jonathan Nyepa manakala pelari Indonesia, Boby Yaspi, berada di tangga keempat dengan 10.36 saat.

Penguasaan Khairul berterusan dalam 200m dengan catatan 21.01 saat, sambil diekori Bobby sementara seorang lagi pelari negara, G. Aravin Thevar, di tempat ketiga dengan 21.04 saat.

Dalam acara 100m wanita, Zaidatul yang dikritik ekoran prestasi buruk dalam Sukan Olimpik Rio 2016, berjaya mencatat masa terpantas musim lalu dengan 11.67 saat, diekori rapat dua pelari Filipina.

"Kami perlu melihat kepada persiapan dalam sesi latihan yang akan membantu atlet olahraga untuk sampai ke kemuncak prestasi pada Sukan SEA nanti," kata ketua jurulatih skuad olahraga negara, Zainal Abas.

Secara keseluruhan, tujuh atlet negara mencatat prestasi terbaik di rantau Asia Tenggara musim lalu dan ia boleh dijadikan penanda aras Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk mengumumkan sasaran rasmi Sukan SEA.