Acara 100 meter dan 200 meter lelaki dijangka menjadi tarikan utama dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia apabila dua pelari pecut sensasi negara, Khairul Hafiz Jantan dan Badrul Hisham Abdul Manap, mengesahkan penyertaan.

Biarpun hanya mengambil bahagian dalam acara 200 meter, kelibat Khairul Hafiz dijangka menjadi perhatian utama, selain turut dicabar Badrul Hisham dan G. Aravinn Thevar.

Selain itu, acara 100 meter lelaki turut menarik perhatian dengan Badrul Hisham dijangka akan cuba menjadikan platform Terbuka Malaysia sebagai medan memulihkan reputasi.

"Yang paling menarik adalah acara 200 meter. Selain itu, 100 meter juga kita perlu fokus.

"Jadi, Khairul Hafiz dan Arvinn, mereka akan bersaing. Sekiranya tiada atlet luar yang menarik diri, kita berpeluang untuk menang," kata Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim.

Karim turut menjelaskan Kejohanan Olahraga Kebangsaan tahun ini mencatatkan penurunan penyertaan 20 peratus berbanding tahun lalu.

Ini disebabkan tiada sebarang kejohanan utama pada penghujung tahun ini selain kesibukan menghadapi peperiksaan.

"Memang selalunya beginilah. Atlet akan fokus sebelum Sukma (Sukan Malaysia).

"Atlet juga perlu fleksibel kerana ada antara mereka yang akan menduduki peperiksaan universiti dan peringkat sekolah.

"Sepanjang tahun mereka dah ambil cuti, mereka perlu tumpukan kepada pelajaran."