Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memuji kerjasama penuh yang diberikan jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md. Kassim, sepanjang proses siasatan kes doping seorang atlet remaja negara, sekali gus membuktikan kredibiliti jurulatih terkenal itu.

Jawatankuasa Siasatan KOM mendapati jurulatih itu tiada kaitan dengan dakwaan kes berkenaan dan dia dibenarkan untuk meneruskan tugasnya seperti biasa.

Tindakannya itu mencerminkan kredibiliti dan sikap profesional barisan kejurulatihan skuad olahraga negara.

"Jurulatih sebagai seorang pendidik, juga bertanggungjawab," kata Timbalan Presiden KOM, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar.

"Sekarang, kita sudah tahu bahawa dia berkemungkinan besar memang tidak terlibat.

"Alhamdullilah buat sukan olahraga dan kesemua atlet yang berlatih di sana," katanya.

Sementara itu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) masih menunggu keputusan ujian doping dalam Sukan SEA Filipina bulan lalu.

Sebanyak 700 sampel air kencing dan darah diambil dan dihantar ke makmal ujian di Australia.

"Mereka (makmal) telah menguji 500 sampel air kencing dan 700 sampel darah," kata Pengerusi Jawatankuasa Perubatan MOM, Datuk Dr. S. S. Cheema.

"Keputusannya sepatutnya diperoleh pada 13 Januari lalu tetapi sehingga sekarang, saya masih belum dapat apa-apa maklumat daripada Jawatankuasa Perubatan Penganjur Sukan SEA -- sama ada sampel itu ada yang positif atau kesemuanya negatif," katanya.



Editor: Muzaffar Musa