Ketua jurulatih skuad boling tenpin negara, Holloway Cheah, mahu Kejohanan Wanita Dunia di Las Vegas, Amerika Syarikat bermula Khamis depan menjadi medan buat pendatang baru skuad negara, Nerosha Keligit, untuk membuktikan kemampuan sebenarnya dalam skuad senior.

Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) mengejutkan ramai apabila tidak menyenaraikan pemain senior, Shalin Zulkifli, untuk bersama Esther Cheah, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan bagi menyertai kejohanan berkenaan disebabkan faktor kecergasan.

Bagaimanapun, Holloway menyifatkan perkara itu tidak akan menjejaskan perancangan pasukannya untuk mempertahankan gelaran itu, yang dimenangi mereka dua tahun lalu.

Ia merupakan penglibatan pertama Nerosha dalam skuad senior selepas muncul naib juara Terbuka Thailand, April lalu.

"Anda tahu, Shalin merupakan pemain yang boleh diharapkan.

"Tanpa Shalin, sama ada saya gusar ataupun tidak, ia bukan tentang ya atau tidak.

"Sukan kami seperti ini, jika pemain di sebelah kiri boleh beraksi dengan mudah, saya tahu pasukan ini akan melakukannya dengan baik.

"Jika pemain di sebelah kiri berdepan kesukaran, maka kami juga mungkin akan berdepan kesukaran.

"Namun, kami masih mempunyai lima pemain di sebelah kanan, jadi ia masih baik buat saya," kata Holloway.

Sementara itu, Nerosha bertekad untuk memanfaatkan kepercayaan yang diberikan oleh barisan kejurulatihan negara bersandarkan kepada latihan pusat selama dua bulan yang dijalaninya bersama skuad senior negara.

"Saya berharap dapat melakukannya dengan amat baik kerana ia merupakan kali pertama.

"Saya amat bersedia, saya berlatih dengan amat gigih dan memberikan yang terbaik sepanjang waktu latihan.

"Jadi, saya harap dapat memberikan segala-galanya di Las Vegas," katanya.