Bekas pemain nombor lima dunia, Low Wee Wern, yang membuat penampilan sulung dalam Kejohanan Juara-Juara 2019, melangkah ke pusingan kedua di New York semalam.

Juara Terbuka Malaysia 2018 itu menewaskan pemain muda Mesir, Mayar Hany, 12-10, 11-3, 6-11, 11-6 dalam perlawanan pusingan pertama di Harvard Club, New York, menurut kenyataan laman web kejohanan itu; www.tocsquash.com.

Mengulas kemenangannya itu, Wee Wern berkata dia gembira melakar kemenangan di New York dan teruja untuk menghadapi pertarungan pusingan kedua berdepan pilihan keenam, Nour El Tayeb dari Mesir, esok.

“Saya pernah antara pemain termuda di gelanggang tetapi kini tidak lagi. Sekarang terlalu ramai pemain muda Mesir yang membuat kemunculan, sekarang saya gembira kerana saya dapat mengatasinya, yang sebelum ini agak sukar, sejak saya mula bermain semula,” katanya.

“Selepas memenangi set kedua, saya dapat bermain dengan lebih baik di gelanggang tetapi dalam set ketiga, saya gagal mengawal permainan dan saya tidak dapat mengembalikannya hinggalah ke pusingan keempat.

"Kemudian saya tingkatkan permainan dan saya berjaya membuktikannya hari ini,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 28 tahun ini yang berehat selama 21 bulan berikutan kecederaan lutut ketika menyertai Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat 2016.

Turut menyertainya ke pusingan kedua ialah juara kebangsaan S. Sivasangari, yang meraih kemenangan 11-2, 11-7, 11-8 menewaskan Fiona Moverley dari England dalam perlawanan pusingan pertama di Athletics Club, New York.

Malaysia tidak menghantar pemain lelaki dalam kejohanan itu.

-- BERNAMA