Atlet angkat berat Terengganu, Mohd Azfar Kamaruddin dan Norshafika Samsuddin, berazam untuk menyinar dalam Kejohanan Remaja Dunia di Bangkok, 3-10 April ini, sekaligus mencerahkan peluang mewakili negara ke Sukan Olimpik Remaja (YOG 2018) di Argentina.

210317 Atlet angkat berat Terengganu Azfar  Norshafika Siti Noralyaa


Menurut Mohd Azfar, 17, dia kini teruja untuk bersaing di peringkat lebih tinggi selepas memenangi dua pingat emas dan dua pingat perak dalam acara 69kg dalam kejohanan kebangsaan, semalam.

“Secara peribadi, saya yakin mampu bersaing bersama lawan serantau di peringkat umur yang sama.

“Latihan pusat akan diadakan di Bukit Jalil selama 11 hari dan peluang ini akan kami gunakan sebaik-baiknya untuk membuktikan keupayaan sebenar di Bangkok.

“Saya meletakkan sasaran untuk melakukan angkatan 120kg dalam acara snatch dan 150kg untuk acara clean & jerk,” ujarnya.

Sedar beraksi di YOG adalah impian setiap atlet muda sepertinya, Norshafika, 17, pula mengakui dia perlu memberikan yang terbaik dalam Kejohanan Dunia di Bangkok ini terlebih dahulu.

“Saya akan memberi lebih tumpuan dalam sesi latihan selain menjaga pemakanan dan mendapatkan rehat yang secukupnya.

“Peluang terbuka buat semua atlet negara dan yang membezakan adalah komitmen, kesungguhan dan keputusan.

“Selain menyasarkan pingat gangsa, saya juga mahu memperbaiki catatan terbaik peribadi dengan angkatan 73kg (snatch) dan 93kg (clean & jerk),” katanya lagi.

Mengiringi Mohd Azfar dan Norshafika yang beraksi dalam acara 69kg, seorang lagi atlet Terengganu, Siti Noralyaa Mat Marzuki, (48kg) juga akan bersama 11 atlet lain membawa cabaran Malaysia dalam kejohanan di Bangkok itu.

Kejohanan Dunia itu merupakan platform terbaik untuk atlet negara mengumpul mata kelayakan, seterusnya menempatkan diri ke Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina, tahun depan.