Perasaan gementar membawa padah kepada penerjun negara, Chew Yiwei, apabila terlepas peluang kelayakan secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara 3 meter papan anjal individu lelaki.

Dalam Kejohanan Terjun Dunia FINA Ke-18 di Gwangju, Korea Selatan hari ini, pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2018 itu hanya menduduki tempat ke-41 daripada 57 peserta dengan mengumpul 332.65 mata selepas enam terjunan.

Dalam pada itu, rakan senegaranya, Ooi Tze Liang, mengakhiri saingan di tangga ke-25 selepas mengumpul 376.95 mata.

Sebagai rekod, 12 penerjun terbaik dalam acara indvidu dalam kejohanan itu secara automatik memperoleh tiket ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

Sementara itu, Yiwei mengakui berasa gementar selepas terjunan pertamanya kerana terdesak untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

”Persembahan saya lebih buruk hari ini berbanding semasa latihan,” katanya.

Penerjun China, Xie Siyi, menungguli pusingan kelayakan dengan 499.15 mata, diikuti wakil Great Brirain, Jack Laugher, dengan 485.50 mata manakala tempat ketiga disandang oleh penerjun Korea Selatan, Woo Ha-ram, dengan 457.70 mata.

Sejumlah 18 penerjun terbaik mara ke pusingan separuh akhir dan 12 penerjun layak ke final.

Bagaimanapun, Yiwei masih mempunyai peluang memburu slot ke Tokyo dalam Kejohanan Terjun Piala Asia di Kuala Lumpur, September depan dan Piala Dunia 2020, April depan.

Katanya, misi utamanya tahun ini adalah layak ke Sukan Olimpik selepas gagal layak ke dalam temasya di Rio pada 2016.

“Piala Dunia tahun depan adalah peluang terakhir untuk layak ke Sukan Olimpik.

"Itulah misi saya selama ini," tambah penerjun berusia 23 tahun itu.

-- BERNAMA