Biarpun kecewa di pentas akhir, pemain boling padang lelaki negara, Soufi Rusli, tetap berpuas hati kerana meraih pingat perak dalam Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2017, yang menjadi kejayaan terbaiknya setakat ini.

Walaupun Soufi sebelum ini lebih banyak beraksi dalam acara berpasukan, dia sama sekali tidak kekok beraksi dalam acara perseorangan.

Baginya, kejayaan mara ke perlawanan akhir tetap satu pengalaman manis biarpun sedikit kecewa kerana gagal menundukkan juara dunia empat kali, Jeremy Henry dari Australia.

Mengakui pengalaman lebih memihak Henry, dia berharap apa yang dicapai dalam Kejohanan Dunia mampu menyuntik motivasi kepadanya menjelang Sukan SEA 2017.

“Alhamdullillah, saya telah diberitahu saya diserap masuk dalam Program Podium. Ia akan menjadi suntikan kepada saya untuk memberikan yang terbaik dalam Sukan SEA nanti,” kata Soufi.

Seorang lagi pemenang pingat negara, Nor Hashimah Ismail, yang meraih gangsa bagi kategori wanita, menjelaskan faktor padang menjadi punca dia gagal di peringkat separuh akhir.

Namun, dia tetap menganggap kejayaan membawa pulang pingat sebagai satu bonus buat dirinya kerana berjaya meletakkan Malaysia antara empat terbaik dalam Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2017.

“Ini merupakan kali kedua saya beraksi dalam kejohanan ini dan kali kedua meraih pingat gangsa, saya akan terus memberikan yang terbaik buat Malaysia dalam Sukan SEA,” katanya.