Prestasi skuad berbasikal para negara berada di tahap memberangsangkan dengan aksi cemerlang yang ditampilkan apabila menggondol tujuh pingat emas daripada lapan acara yang dipertandingkan dalam Kejohanan Berbasikal Trek Grand Prix Asia Tenggara 2019 dan Kejohanan Para Trek 1 2019 di Velodrom Nasional, hari ini.

Tujuh emas dimenangi menerusi acara 1 kilometer ujian masa lelaki kategori C1, C3, C4, C5, dan 1km ujian masa lelaki kategori B serta 500 meter ujian masa perempuan kategori C3 dan 1km ujian masa perempuan kategori B.

Mohd Yusuf Hafizi Shahruddin muncul penyumbang pingat pertama negara menerusi acara 1km ujian masa kategori C1 selepas mencatat masa 1 minit 17.986 saat, diikuti Muhammad Adi Raimie Amizazahan (1km ujian masa C3), Mohd Najib Turano (1km ujian masa C4) dan Zuhairie Ahmad Tarmizi (1km ujian masa C5).

Mohd Afiq Afify Rizan dan jurumudi, Mohd Faizal Mohamed Noh, turut menyumbang emas dalam acara ujian masa kelas tandem buta (kategori B) dengan 1:03.867s.

Turut cemerlang, pelumba wanita para negara, Nur Faizah Aziz, yang merekod masa 28.409s dalam acara 500m ujian masa (C3) dan Nur Suraiya Muhammad Zamri dan Nurul Suhada Zainal dalam acara ujian masa kelas tandem dengan 28.409s.

Indonesia meraih emas tunggal acara 1km ujian masa kategori C2 menerusi Habib Shaleh dengan Malaysia tidak menyertai acara itu.

Jurulatih skuad berbasikal para negara, Salehuddin Mohd Noh, ketika ditemui berkata selain meraih emas dalam kejohanan kali ini, dia turut mengharapkan pelumba negara mampu mengutip mata untuk menambah slot ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

"Persoalannya bukan hanya emas yang kita kejarkan tetapi yang penting adalah pungutan mata untuk dapatkan slot tambahan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

"Setakat tahun 2018, selepas daripada bulan Disember, kami sudah dapat satu slot untuk Paralimpik 2020, jadi kami harap dapat tambahan slot itu sehingga hujung tahun ni. Bulan Jun tahun depan adalah tarikh akhir untuk kutipan mata kelayakan bagi Paralimpik Tokyo 2020," katanya.

Salehuddin turut berharap agar sejarah dapat dicipta menerusi pelumba wanita untuk mendapatkan slot ke Sukan Paralimpik Tokyo memandangkan Malaysia tidak pernah mendapat slot dalam kategori itu.

-- BERNAMA