Atlet angkat berat negara, Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad, tidak menyangka akan meraih dua pingat perak dan satu gangsa dalam Kejohanan Angkat Berat Asia di Ningbo, China, hari ini.

Lebih manis, kejohanan itu turut menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Azroy, yang beraksi dalam kategori 55 kilogram, melakukan angkatan seberat 112 kilogram dalam acara snatch dan 136 kilogram bagi acara clean and jerk untuk mencatat jumlah angkatan keseluruhan seberat 248 kilogram.

Dua pingat perak yang diraihnya itu datang daripada acara snatch dan keseluruhan manakala pingat gangsa pula diraih menerusi acara clean and jerk.

"Saya rasa macam tidak percaya dan ia sememangnya rezeki saya.

"Saya tidak jangka untuk dapat meraih pingat dalam Kejohanan Asia kerana kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam kejohanan ini adalah menerusi Amirul Hamizan (Ibrahim) pada 2008.

"Selepas 11 tahun, saya meraih dua pingat perak dan satu gangsa dan saya lakukannya demi Malaysia," katanya.

Sementara itu, bekas atlet angkat berat negara, Amirul Hamizan, menganggap kejayaan Azroy itu sebagai kebanggaan buat skuad angkat berat negara.

Bagi Amirul, ia merupakan perkembangan yang baik dalam skuad negara meskipun kategori 55 kilogram tidak dipertandingkan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kejayaan Hazalwafie dalam Kejohanan Asia merupakan sesuatu yang membanggakan buat sukan angkat berat di Malaysia kerana sudah lama atlet negara tidak memenangi pingat dalam kejohanan itu," katanya.