Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan perbincangan susulan dengan juara welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA), Manny Pacquiao, mengenai pembangunan sukan tinju di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, berkata KBS akan membincangkan bagaimana kedua-dua pihak boleh bekerjasama untuk memastikan sukan tempur itu dapat dibangunkan di Malaysia.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada senator Filipina itu kerana sudi menyumbangkan peralatan digunakannya semasa latihan untuk ‘Fight of Champions’ yang berlangsung di Axiata Arena, semalam kepada Malaysia.

“Apabila saya jumpa Pacquiao pada minggu lepas, dia memberitahu akan tinggalkan ring dan infrastruktur selepas perlawanan itu untuk digunakan oleh rakyat Malaysia.

"Kami akan bincangkan apa yang akan dilakukan dengan peralatan itu,” katanya kepada Bernama ketika ditemui dalam tayangan besar perlawanan akhir Piala Dunia 2018 di Dataran Merdeka, malam tadi.

Pada pagi semalam, Syed Saddiq bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, hadir menyaksikan pertarungan tali pinggang welterweight WBA di antara Pacquiao dan juara bertahan, Lucas Matthysse dari Argentina.

Peninju berusia 39 tahun itu yang dikenali sebagai ‘Pacman’ merampas kejuaraan selepas menewaskan Matthysse menerusi technical knockout (TKO) dalam pusingan ketujuh di hadapan kira-kira 14,000 penonton.

Pacquiao mengumumkan bahawa beliau akan menyumbangkan peralatan tinju itu untuk kegunaan rakyat Malaysia dalam sidang media selepas pertarungan itu, semalam.