Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempunyai perancangan khas untuk membantu Datuk Nicol David menghadapi persaraan.

Kerajaan sudah berbincang dengan juara skuasy dunia sebanyak lapan kali itu mengenai bentuk bantuan yang boleh dihulurkan, terutama mengenai akademi atau yayasan Nicol David diwujudkan selain impiannya bergelar pakar motivasi.

"Nicol tidak mendapat pengiktirafan Sukan Olimpik berikutan skuasy tidak tersenarai.

"Saya sudah mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memberikan insentif istimewa. Kalau bukan daripada segi kewangan, mungkin kami boleh menawarkannya geran.

"Kami ingin apa yang dirancangkan Nicol dapat diteruskan sebagai pengiktirafan khas atas jasanya kepada negara," kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Nicol akan meneruskan cabaran sehingga tamat musim Persatuan Skuasy Profesional (PSA), Jun depan.

Jaguh berusia 36 tahun tersebut memegang rekod pemain paling lama menghuni ranking pertama dunia, iaitu selama sembilan tahun, sebelum dirampas jaguh Mesir, Raneem El Weleily, pada 2015.

Sementara itu, MSN menghormati keputusan Nicol yang menolak tawaran menyertai barisan kejurulatihan kebangsaan memandangkan pengendali, Peter Genever, akan meninggalkan Malaysia akhir bulan ini.

"Ada beberapa calon jurulatih yang telah dikenal pasti oleh Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM).

"Kami memberi ruang kepada SRAM untuk melaksanakan program tersebut," ujar Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Pengumuman persaraan Nicol itu turut mendapat sokongan ibu bapanya, Desmond dan Ann Marie David, yang berasakan anak mereka memilih waktu yang sesuai untuk bersara.

"Dia berasakan sudah mempunyai perancangan selepas bersara.

"Dia mahu melakukannya dengan caranya sendiri, jadi kami akan terus menyokong tindakannya sepertimana ketika dia memutuskan untuk terjun ke bidang karier profesional," ujar Desmond.

Menurut ibunya pula: "Apabila sudah mencecah 36 tahun, ia pasti bukan laluan mudah untuknya lagi.

"Saya pasti dia inginkan cabaran baru dalam hidupnya."

Pengumuman Nicol itu turut mengundang reaksi terkejut dalam kalangan atlet negara.

"Ia kehilangan besar dalam skuasy. Bukan senang untuk menggantikan tempat Nicol.

"Sepanjang bergelar atlet, saya sentiasa melihatnya berada di puncak dunia.

"Saya terkejut dengan persaraannya," kata penjaga gol hoki negara, S. Kumar.

Tambah atlet angkat berat negara, Muhammad Azroy Hazalwafie: "Dia seorang ikon dalam kalangan atlet. Saya dan rakan-rakan ingin menjadi seperti beliau."