Atlet karate remaja negara, G. Kathish, mempamerkan aksi cemerlang dalam penampilan pertamanya selepas menewaskan atlet negara, Soman Rou, dalam Kejohanan Karate Kebangsaan 2019 yang berakhir semalam.

Atlet berusia 18 tahun itu bersemangat memulakan saingan pertamanya sebagai atlet senior selepas berjaya mencabar kredibiliti atlet kebangsaan itu dalam acara +84 kilogram.

Kathish menganggap kejayaannya itu merupakan permulaan baik buatnya dalam melakukan persiapan menghadapi Kejohanan Karate Remaja Asia dan Kejohanan Karate Asia Tenggara bulan depan.

"Saya sangat gembira dan bangga kerana menewaskan atlet kebangsaan. Ini merupakan kejohanan senior pertama saya dan bersyukur di atas pencapaian ini," kata Kathish.

Sementara itu, P. Madhuri, menganggap status sebagai atlet negara bukan kelebihan baginya meraih gelaran juara dengan mudah selepas menewaskan M. Maran Sri Kugasheni.

Bagaimanapun, juara kebangsaan kategori 50kg itu belum bersedia untuk menyertai kategori baru apabila Persekutuan Karate-do Malaysia (MAKAF) mahu meletakkannya sebagai pengganti terbaik Syakilla Salni Jefry Krishnan.

"Saya mahu mempamerkan persembahan yang agresif dalam setiap kejohanan yang disertai. Saya perlu berlatih dengan lebih baik untuk menghadapi kejohanan seterusnya," kata Madhuri.