"Pilih masa sesuai," itu peringatan bekas pelari pecut negara, Nazmizan Mohamad, terhadap rancangan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk menghantar skuad pecut yang diketuai Khairul Hafiz Jantan untuk berlatih di Amerika Syarikat (AS).

Nazmizan sendiri pernah melalui pengalaman berlatih selama lebih tiga bulan di Texas, AS pada 2004.

Namun, usaha itu tidak membuahkan hasil kerana dia dan empat lagi atlet negara yang bertandang ke pusat latihan kendalian legenda, Michael Johnson, itu hadir pada waktu tidak sesuai, iaitu ketika program latihan sudah memasuki fasa pertandingan.

Berdasarkan pengalamannya itu, Nazmizan menegaskan MSN dan KOM perlu membuat kajian teliti bagi mengelak masalah sama daripada berulang.

"Di sana, kita boleh tengok bagaimana persiapan negara lain dari segi bio-mekanikal, proses pemulihan dan kita boleh belajar sesuatu di sana.

"Saya mengesyorkan agar ramai atlet muda seperti Jonathan Nyepa dihantar.

"Kalau boleh di sana nanti, kesemua lapan pelari kita boleh berlari di bawah catatan masa 10.50 saat," kata jurulatih itu.

Enam atlet pecut berada dalam radar MSN-KOM ketika ini untuk berlatih di AS.

Dua pilihan yang ada ialah di Universiti Minnesota untuk program jangka panjang atau Kelab Trek Santa Monica bagi jangka pendek.

Khairul Hafiz dan rakan sepelatih, Badrul Hisham Abd Manap, sudah menyuarakan hasrat untuk memilih program jangka pendek untuk menilai adakah mereka sesuai berlatih di kelab terbabit.