Saingan berbasikal Jelajah Semenanjung (ToP) yang bakal berlangsung esok hingga Sabtu ini, dilihat bakal memberikan kelebihan kepada pelumba pecut seperti Mohd Harrif Saleh.

Di atas kertas, saingan sulung perlumbaan berstatus UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) 2.1 Jelajah Asia itu banyak melalui laluan landai, kecuali Peringkat Keempat dari Sungai Koyan ke Cameron Highlands sejauh 89.5 kilometer yang mempunyai laluan berbukit, iaitu pendakian Kategori 1 di Ringlet dan Hors Class (paling susah) ke Tanah Rata.

Ini sekali gus memberikan kelebihan kepada pakar pecut menyaingi pelumba lain dalam persaingan untuk jersi kuning selaku pemenang keseluruhan kerana lazimnya pakar mendaki mempunyai peluang yang agak tinggi untuk meraih gelaran tersebut dengan kelebihan masa ketika zon pendakian.

“Memang laluan kali ini memberikan kelebihan kepada pelumba pecut. Dengan dua peringkat awal berlangsung di Terengganu, sudah pasti saya akan buat yang terbaik untuk kejayaan di negeri kelahiran saya,” kata pelumba pasukan Terengganu Inc (TSG) itu dalam sidang media pra-perlumbaan, hari ini.

“Tetapi untuk jersi kuning agak sukar kerana adanya pendakian Cameron Highlands, saya kena pastikan tidak ketinggalan jauh dari peloton.

"Saingan juga lebih terbuka dan kita tidak boleh menjangka siapa yang akan mengawal perlumbaan, sukar merancang strategi,” katanya yang mempunyai pengalaman sebanyak lima kali di laluan Cameron Highlands.

Pelumba berusia 31 tahun itu yang memenangi Peringkat Kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) dari Senawang ke Melaka April lalu, berkata penyertaan banyak pasukan berstatus benua, iaitu 18 daripada 20 pasukan yang bertanding, turut meningkatkan cabaran buat pelumba.

Peringkat Pertama dari Dungun ke Kuala Terengganu (180.6km) esok tidak mempunyai sebarang pendakian dengan hanya tiga zon pecutan manakala Peringkat Kedua dari Kuala Terengganu ke Chukai dan Peringkat Ketiga dari Kuantan ke Karak (172.7km) mempunyai tiga zon pecutan dan satu pendakian Kategori 4 (paling senang) di Kijal dan Sri Jaya.

Peringkat Kelima dari Kuala Lipis ke Setiawangsa (151.4km) pula menyaksikan tiga zon pecutan dan pendakian Kategori 4 di Bentong dan Kategori 2 di Genting Sempah.

Sementara itu, rakan sepasukannya, Artem Ovechkin, yang diletakkan sebagai pencabar utama jersi kuning bagi ToP, menjangkakan saingan sengit daripada pelumba lain walaupun juara LTdL 2019, Benjamin Dyball dari Team Sapura Cycling (TSC), tidak turut serta kerana sedang membuat persiapan untuk Piala Jepun.

“Walaupun Dyball tidak turut serta, ada pelumba lain dari TSC (Jesse Ewart, Marcus Culey, Cristian Raileanu), Thomas Lenas (Kinan Cycling Team) dan Jeroen Meijers (Taiyuan Miogee Cycling Team) bakal memberi saingan hebat.

"Bagaimanapun pasukan kami mempunyai motivasi yang tinggi dan perlumbaan ini penting buat kami,” kata pelumba berasal dari Russia itu yang menjuarai LTdL 2018.

Bagi pelumba pasukan kebangsaan Malaysia, Sofian Nabil Omar Mohd Bakri, perlumbaan ToP menjadi medan penting untuknya dalam membuat persiapan ke Sukan SEA Filipina hujung tahun ini.

“Kami rasa bersyukur ada satu lagi perlumbaan besar di Malaysia selepas LTdL kerana pasukan kebangsaan kurang pendedahan antarabangsa berbanding dengan pelumba dari TSG dan TSC. Persiapan kami lancar selepas baru balik dari kem latihan di Cameron Highlands selama seminggu.

“Kami sasarkan kedudukan 10 pasukan terbaik keseluruhan dan pasukan terbaik Asia selepas menamatkan LTdL sebagai pasukan kedua terbaik Asia,” kata pelumba berusia 26 tahun itu.

-- BERNAMA