Pakar pecut Terengganu Cycling Team (TSG), Mohammad Harrif Salleh, mengintai peluang untuk meraih kemenangan dalam dua peringkat awal Jelajah Semenanjung yang akan bermula di negeri kelahirannya, Terengganu.

Peringkat pertama Jelajah Semenanjung akan bermula di Dungun hingga Kuala Terengganu dengan jarak keseluruhan sejauh 180.6 kilometer.

"Peringkat pertama agak berbeza kerana ramai pelumba akan menggunakan peluang untuk melakukan pecahan dan sukar untuk menjangkakan corak saingan kali ini. Tetapi laluan yang digunakan memberikan kelebihan untuk saya melakukan pecutan," katanya.

Kuala Berang, Kelulut dan Rusila merupakan zon pecutan yang bakal dimanfaatkan Harrif, namun dia kekal berwaspada dengan kemampuan pesaing lain.

"Setiap zon pecutan agak landai dan ia adalah laluan latihan pasukan kami, namun saya perlu mengenal pasti kemampuan pesaing lain sebelum saingan bermula."