Pelumba motosikal harapan negara, Hafizh Syahrin Abdullah, bakal mencuba kelainan dalam kariernya apabila bakal bersaing di pentas perlumbaan antarabangsa Piala Kereta Touring, 13 Disember depan.

Jadual padat menanti Hafizh di penghujung tahun 2019 apabila dia akan beraksi sebagai pelumba jemputan dalam saingan di Litar Antarabangsa Sepang itu.

Namun, sebelum dapat beraksi dalam saingan itu, dia terlebih dahulu perlu beraksi dalam kejohanan tempatan, Perlumbaan Ketahanan 1,000 Kilometer Sepang (S1K), 22 November ini untuk mendapat pengesahan berlumba kereta daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

Bagi saingan S1K, pelumba berusia 25 tahun itu akan bergandingan dengan Alister Yoong, anak kepada bekas pelumba Formula 1, Alex Yoong, dan Bradley Benedict.

Sehari sebelum saingan itu, dia akan beraksi dalam saingan dua roda, menunggang jentera bersama Franco Morbidelli untuk perlumbaan 8 Jam Ketahanan Sepang.

"Saya akan cuba belajar secepat mungkin dan beri saingan kerana perlumbaan ini tidak bertukar pemandu. Ia melibatkan perlumbaan pecutan dalam 10 pusingan serta 12 pusingan," katanya.