Pelari pecut lelaki negara, Nixson Kennedy, tidak gentar dengan kehadiran atlet berdarah kacukan Australia-Malaysia dalam Kejohanan Grand Prix Malaysia, sekali gus mencabar Russel Alexander Nasir Taib memburu kedudukan podium kali ini.

GP Malaysia merupakan kejohanan pertama Nixson tahun ini dengan sasarannya untuk meraih podium selain memperbaharui rekod peribadi 10.43 saat bagi acara 100 meter.

Namun, ia bukan mudah dengan kehadiran Russel yang sudah mula mencuri perhatian dan bakal memberi cabaran hebat selepas dia berjaya memecahkan rekod kebangsaan 200m dengan catatan baru 20.77s minggu lalu.

Jika sebelum ini kelibat jaguh pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan, sering digeruni pelari elit lain, kini kehadiran Russel pula dinantikan Nixson, sekali gus bertekad untuk mencipta kejutan ke atas pelari yang kini berkelana di Australia itu.

"Saingan semakin sengit di Malaysia dan ia adalah satu perkara yang membanggakan untuk setiap atlet pecut negara menampilkan persembahan yang terbaik," kata Nixson.

Berbeza dengan atlet lain, Nixson yang kini di bawah kendalian Ithnin Mahadi tampak lebih selesa untuk berlatih di tanah air sahaja walaupun rakan sepelatihnya, Jonathan Nyepa dan Zaidatul Husniah Zulkifli, telah pun berada di Amerika Syarikat bagi latihan intensif.

"Saya tidak merancang untuk berlatih di luar negara. Buat masa ini, saya dan jurulatih hanya memberikan tumpuan untuk berlatih di Majlis Sukan Negara (MSN)."