Pelari pecut negara, Muhammad Aqil Yasmin, tidak menganggap kecederaan yang menimpa raja pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, akan membuka laluan untuk dia meraih kejuaraan dalam Grand Prix (GP) Olahraga Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu depan.

Khairul Hafiz terpaksa menarik diri daripada kejonanan itu selepas dinasihatkan untuk berehat selama enam minggu supaya dapat memberikan fokus terhadap rawatan susulan kecederaan betis yang dialaminya itu.

Selain Khairul Hafiz, Aqil turut mengakui juara remaja dunia dari Indonesia, Lalu Muhamad Zohri, turut akan menjadi penghalang buatnya meraih kejuaraan edisi ini.

Bagaimanapun, dia optimis akan dapat memperbaiki catatan peribadi terbaiknya (21.01 saat) melalui acara 200 meter yang dilakar dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak tahun lalu, sekali gus menempah tempat ke Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di Qatar, bulan depan.

"Bagi saya, ia tidak terlalu mudah memandangkan terdapat pesaing lain seperti pelari Indonesia, Zuhri, dan pelari pecut negara seperti Nixson Kennedy, Haikal Hanafi dan Badrul Hisyam Abdul Manap, jadi ia akan menjadi persaingan yang sengit," katanya.

Dalam pada itu, Aqil mendedahkan dia pada mulanya cukup teruja dan berharap dapat bersaing dengan Khairul Hafiz.

Ketiadaan raja pecut itu menyaksikan Malaysia kini sudah kekurangan wakil untuk dipertaruhkan di peringkat antarabangsa.

"Kami dapat bersaing di antara satu sama lain.

"Malaysia kini sudah ketandusan atlet pecut, jadi kami perlu bersaing dengan sengit," tambahnya.