Marcus Fraser dari Australia dan pemain Sepanyol, Nacho Elvira, berkongsi kedudukan selaku pendahulu dalam pusingan pertama Kejohanan Golf Terbuka Malaysia 2019 selepas mencatat tujuh bawah par 65 di Saujana Golf and Country Club, Subang, hari ini.

Fraser, yang menjuarai saingan sulung kejohanan berkenaan pada 2016, tidak menyangka berada di kedudukan tersebut kerana menyifatkannya sebagai ‘pemain golf sambilan’ pada masa kini.

"Buat masa ini, saya anggap diri sebagai pemain golf sambilan. Alangkah bagus dapat beraksi di lapangan golf ini dan bermain seperti biasa dan tidak seperti dulu.

“Saya rasa jika anda mempunyai pemikiran seperti itu, ia mungkin membantu. Saya lagi terkejut berbanding orang lain kerana mampu melakukan tujuh bawah par,” kata Fraser.

Dalam pada itu, Elvira gembira dengan pencapaiannya berikutan beraksi tidak begitu baik dalam beberapa minggu lalu.

"Secara jujurnya, melakukan tujuh bawah par adalah terbaik. Berdasarkan rekod saya di sini yang tidak begitu cemerlang, 66 pukulan dianggap sangat bagus,” kata pemain Sepanyol itu.

Sementara itu, pemain Filipina, Angelo Que, memulakan saingan kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$3 juta (kira-kira RM12.2 juta) itu dengan cemerlang apabila melakukan sembilan bawah par selepas 11 lubang.

Bagaimanapun, dua double-bogey di lubang ke-15 dan 16 menafikan kedudukannya untuk muncul selaku pendahulu selepas pusingan pertama itu.

Que menamatkan cabaran hari ini dengan berkongsi tempat ketiga di samping Matthias Schwab dari Austria dan pendahulu Order of Merit Jelajah Asia musim ini, Jazz Janewattananond dari Thailand.

Jazz, yang merupakan juara tiga kali Jelajah Asia, menampilkan aksi terpuji apabila melakukan tujuh birdie dan satu bogey, ketinggalan satu pukulan di belakang pendahulu dengan mencatat 66 pukulan.

Sementara itu, juara bertahan, Shubhankar Sharma, berkongsi kedudukan ke-40 setelah melakukan satu bawah par 71.

Nicholas Fung muncul pemain terbaik Malaysia dalam pusingan pembukaan hari ini selepas mencatat empat bawah par 68.

-- BERNAMA