Kejohanan Golf Amatur Prudential Astro Masters (PAM) 2018 kembali dan sempena penganjuran buat kali ke-21, hadiah bernilai RM300,000 dan pakej percutian golf ke Eropah menjadi rebutan.

Edisi ke-21 ini bakal menampilkan sepuluh pusingan kelayakan membabitkan lima negeri seperti di Selangor, Sabah, Perak, Melaka dan Johor bermula 1 Ogos ini dan berakhir pada 18 Oktober.

Juara dan naib juara peringkat kelayakan akan dibawa ke Phnom Penh, Kemboja bagi beraksi untuk pusingan akhir yang bakal berlangsung dari 15 hingga 17 November.

Buat julung kalinya, pihak penganjur menawarkan pakej pelancongan golf untuk dua orang, termasuk tiket dan penginapan, untuk beraksi di St. Andrews, Scotland bagi pemain yang berjaya membuat pukulan hole in one.

"Kami mahu memberikan pengalaman yang unik buat pemain golf untuk beraksi di St. Andrews kerana ia merupakan satu impian buat mereka," kata Pengerusi Jawatankuasa Penganjur PAM 2018, P. Jeganathan.