Pemberian insentif oleh Kerajaan Negeri Terengganu jelas membakar semangat jaguh trek negara, Azizulhasni Awang, dan ratu pecut, Fatehah Mustafa, dengan masing-masing mempunyai misi peribadi menjelang kejohanan penting pada tahun hadapan.

Azizulhasni, 28, yang diberikan insentif RM20,000 serta sebuah apartment bernilai RM250,000 menyambut baik anugerah yang diterima, malah turut berbangga selepas dia dan Fatehah dilantik sebagai Ikon Sukan dan Duta Tahun Melawat Terengganu 2017.

“Penghargaan ini cukup bermakna dan saya berharap dapat memberi manfaat kepada satu sama lain, malah ini adalah simbolik kepada saya dan negeri Terengganu yang membantu karier saya.

“Hujung bulan ini, saya akan menyertai Piala Dunia di Scotland dan Belanda, namun tiada sasaran diletakkan dalam kejohanan itu walaupun saya kini di ranking kedua dunia kerana baru memulakan latihan minggu lalu.

“Selepas berbincang dengan jurulatih, saya dinasihatkan untuk menyertai dua kejohanan ini sebagai medan latihan terbaik menghadapi Kejohanan Dunia, April nanti,” ujar Azizul.

Fatehah, 27, yang menerima RM10,000 menyifatkan pemberian itu adalah tanda kepercayaan dan sokongan seluruh rakyat Terengganu untuk dia terus menggapai kejayaan pada masa depan.

“Walaupun ada yang pulang tangan kosong, Kerajaan Negeri tetap memberi penghargaan kepada kami, jadi saya sangat bersyukur dengan hadiah ini.

“Saya akan buat yang lebih baik dan memandangkan saya tidak menyertai mana-mana kejohanan selepas ini, fokus saya adalah pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di India, Februari nanti.

“Selepas meraih pingat perak dalam acara keirin tahun lalu, sasaran kali ini adalah untuk sekurang-kurangnya mengekalkan pingat perak itu,” jelas Fatehah.

Azizul dan Fatehah adalah antara atlet yang diraikan oleh Kerajaan Negeri Terengganu pada Majlis Penggiat Sukan, Penaja dan Atlet Olimpik, yang disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, semalam.