Atlet boling padang negara, Emma Firyana Saroji, terpaksa melupakan dua kejohanan penting sepanjang bulan depan -- Kejohanan Terbuka Australia dan Kejohanan Asia Pasifik -- selepas mengalami kecederaan buku lali.

Dia kini hanya fokus untuk menjalani sesi pemulihan menjelang Sukan SEA Filipina, November depan.

Atlet berusia 32 tahun itu dijangka pulih Julai ini dan akan kembali menjalani latihan bersama skuad kebangsaan sebagai persiapan untuk menghadapi temasya dwitahunan berkenaan.

Menurut ketua jurulatih skuad negara, Zuraidi Puteh, keadaan Emma Firyana tidak begitu serius, namun perlu diberikan perhatian memandangkan atlet yang berasal dari Selangor itu merupakan prospek untuk meraih pingat emas di Filipina.

"Dia sebenarnya masih boleh bermain dengan keadaan yang baik, namun kami tidak mahu mengambil risiko dan memperjudikan nasibnya di Australia.

"Kami memerlukannya dalam Sukan SEA," katanya.

Bekas pemain berpengalaman negara, Norhashimah Ismail, yang kini merupakan salah seorang jurulatih skuad kebangsaan, akan menggantikan posisi Emma Firyana dalam Terbuka Australia demi mencapai sasaran untuk melepasi peringkat saringan kedua dan ketiga.

"Dalam Terbuka Australia, kami meletakkan sasaran untuk melepasi peringkat saringan kedua dan ketiga.

"Jika boleh, mereka hendaklah sampai ke kelompok 16 atau 18 terbaik.

"Namun, untuk sampai ke tahap itu sangat susah.

"Jika mereka melepasi peringkat yang seterusnya juga sudah cukup baik," tambahnya.