Ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David, berkata dia belum mempunyai apa-apa perancangan khusus untuk masa depannya selepas mengumumkan persaraan Jun lalu.

Juara dunia lapan kali itu berkata dia berharap dapat berbincang dengan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) dahulu sebelum membuat keputusan.

"Saya mempunyai banyak rancangan tetapi saya akan berbincang dahulu dengan SRAM dan MSN mengikut rancangan mana yang sesuai. Namun, apa yang pasti, saya akan memberikan tumpuan dalam pembangunan sukan skuasy dalam kalangan wanita remaja di negara ini.

"Saya juga ada rancangan untuk mengadakan kem bakat skuasy di Malaysia atau luar negeri. Selain itu, saya berhasrat untuk memberi tumpuan menyampaikan ceramah dan kem motivasi di negara ini.

"Semua ini saya sedang memikirkannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan tiga gelanggang skuasy Kolej Tuanku Ja'afar (KTJ), Mantin di Nilai yang dibaikpulih dengan kos RM300,000.

Turut hadir ialah pemegang amanah, Tunku Tan Sri Imran ibni Almarhum Tuanku Ja'afar dan pengetua KTJ, Dr Glenn Moodie.

Selain itu, bekas atlet berusia 35 tahun itu juga mempunyai perancangan dengan Yayasan Nicol Ann David untuk menggalakkan lebih ramai pemain wanita muda bermain skuasy di negara ini.

"Saya akan ke luar negara selepas ini dan saya akan menentukan hala tuju semua perancangan ini apabila saya balik semula ke Malaysia pada bulan Oktober nanti," tambahnya.

Nicol berkata Malaysia mempunyai ramai pemain muda berpotensi yang boleh digilap bakat mereka untuk menjadi jaguh skuasy dunia.

Ditanya mengenai sama ada dia ada menerima tawaran daripada mana-mana pihak sebagai jurulatih, Nicol berkata setakat ini dia belum ada menerima apa-apa tawaran tersebut.

"Bagaimanapun, saya akan memikirkannya jika ada menerima tawaran itu," katanya.

-- BERNAMA