Sukan Malaysia (Sukma) Perak berdepan risiko mencatat skandal doping terbesar dalam sejarah apabila makmal ujian doping di New Delhi, India, mengarahkan 17 sampel air kencing atlet diuji semula kerana wujud unsur-unsur mencurigakan, sekali gus menjadi tamparan hebat kepada penganjur.

Isu doping Sukma Perak berdepan risiko lebih besar.

Makmal ujian doping di New Delhi memaklumkan kepada Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) bahawa ujian susulan terpaksa dilakukan kerana beberapa sampel terbabit mengandungi bahan terlarang yang melebihi had dibenarkan.

Ini mewujudkan persoalan adakah jumlah kes doping Sukma Perak akan meningkat berbanding dua kes positif setakat ini?

"Kebiasaannya, sebaik makmal mendapati sesuatu sampel itu negatif, mereka akan segera memaklumkannya.

"Jika mereka mendapati wujud unsur steroid dalam sampel atlet, mereka akan meminta ujian pengesahan dijalankan, proses inilah yang memakan masa.

"Tetapi, sekiranya terdapat kadar testosteron yang tinggi, mereka akan membuat satu ujian yang akan menentukan sama ada unsur testosteron itu adalah daripada badan atlet atau faktor luaran," ujar Penolong Pengarah ADAMAS, Nishel Kumar.

Dua kes positif doping melanda atlet angkat berat Terengganu dalam Sukma Perak membabitkan bahan jenis methylhexanamine.

Bahan itu mampu meningkatkan kadar degupan jantung selain mengurangkan berat badan.

ADAMAS akan mengadakan sidang media pada Selasa depan untuk mengumumkan keputusan 17 sampel terbabit.

"Dua kes yang sedia ada masih lagi berjalan dan kami mahu membongkar hal ini sehingga ke akar umbi bagi memastikan sukan ini benar-benar bersih.

"ADAMAS akan menerima kesemua keputusan daripada makmal di New Delhi pada Isnin ini sebelum Pengarah ADAMAS, Datuk Dr Ramlan Aziz, akan memberi rumusannya kepada pihak media," katanya lagi.