Pemain skuasy nombor dua negara, Delia Arnold, mengumumkan dia sah meninggalkan sukan itu selepas bekecimpung di pentas elit sejak 13 tahun lalu.

"Beberapa bulan lalu, saya sudah memikirkan tentang persaraan sebab sudah terlalu lama bergelumang dalam sukan skuasy.

"Saya berasakan ia adalah masa terbaik untuk saya beralih ke bab seterusnya dalam kehidupan saya," katanya.

Biarpun bukan sandaran untuk membutirkan pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, kehilangan Delia tentunya memberi tamparan hebat kepada Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) di kala prestasi ratu skuasy, Datuk Nicol David, tidak menentu dan kelompok pemain pelapis masih belum menampakkan sinar.

Bagaimanapun, Delia tidak menolak kemungkinan bakal menabur bakti sebagai salah seorang tenaga kejurulatihan skuasy negara pada masa depan.

"Untuk temasya Sukan SEA, saya tak layak untuk bertanding kerana skuasy adalah di bawah Program Podium yang meletakkan sasaran untuk Sukan Asia 2018."