Bulan Sukan Negara: KBS sediakan insurans buat peserta

Oleh Staff Writer 10 Oktober 2019
Bulan Sukan Negara: KBS sediakan insurans buat peserta
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyediakan kemudahan insurans bagi peserta yang akan mengambil bahagian dalam Majlis Sambutan Bulan Sukan Negara 2019 dalam memastikan keselematan mereka terjamin ekoran insiden tahun lalu.

Usaha itu diambil selepas seorang daripada peserta Liga Futsal Untuk Semua (LiSUS) yang berlangsung ketika sambutan Hari Sukan Negara edisi 2018 maut disambar petir.

Pengarah Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan, Azura Abidin, berkata langkah itu juga diambil kerana acara tersebut diadakan ketika musim tengkujuh seperti tahun lalu.

Dia juga menegaskan acara turut akan dihentikan jika perlu bagi melindungi keselamatan peserta dan pengunjung.

"Pihak penganjur, KBS, telah memperuntukkan sejumlah wang untuk memberi perlindungan kepada semua peserta. Ia juga daripada segi perlindungan tambahan kepada mereka yang mengambil bahagian," katanya.

Majlis sambutan musim ini turut menyediakan acara bagi kaum wanita, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dalam misi menyatukan rakyat Malaysia.

"Bulan Sukan Negara kali ini menyaksikan kami membawa satu bentuk kesedaran yang berpanjangan selama sebulan. Jadi, kami ingin melihat daripada segi gerakan dengan pelbagai aktiviti dalam tempoh sebulan."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Comment