Perenang negara, Welson Sim, percaya tiga lagi perenang dalam kuartet 4x100 meter negara mampu lebih menyerlah susulan pencapaian dalam Kejohanan Asia baru-baru ini.

Kejohanan Asia yang berlangsung di Tokyo menyaksikan Malaysia mempertaruhkan perenang muda dengan diketuai oleh Welson.

Sudah pasti tumpuan terarah kepada kuartet 4x100m gaya bebas selepas mereka memecahkan rekod baru kebangsaan.

Malah, ini kali pertama Welson, Keith Lim, Yeap Zheng Yang serta Foong Wei Tze digandingkan bersama.

Catatan 3 minit 24.93 saat menyaksikan mereka mengatasi rekod lama, iaitu 3 minit 25.55 saat yang dilakukan dalam temasya Sukan SEA 2015 Singapura.

Ketika itu, Welson digandingkan bersama Daniel Bego, Lim Ching Hwang serta Alwyn Tan.

"Kami berjaya memecahkan rekod renang kebangsaan dalam acara 4x100m. Itu adalah permulaan baik untuk kuartet muda memandangkan keempat-empat kami masih berumur di bawah 20 tahun.

"Dengan ahli baru, ia adalah berita baik untuk kami membuat persiapan beberapa bulan akan datang.

"Ini adalah langkah besar buat saya selepas Sukan Olimpik Rio," katanya."

Dalam pada itu, skuad renang negara bertekad tidak ingin kehilangan rentak, khususnya bagi persiapan menghadapi temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

Jurulatih renang kebangsaan, Paul Birmingham, berkata kesemua perenang yang berkemungkinan disenaraikan dalam temasya itu nanti harus sentiasa konsisten supaya tidak kehilangan tempat.

"Ketika ini, kami telah menetapkan sasaran baru untuk tahun depan. Atlet mungkin akan sedikit bersikap sambil lewa.

"Ini adalah satu peringatan di mana pada permulaan tahun baru, ada perenang yang menyerlahkan renangan yang bagus, namun prestasi mereka cepat menjunam.

"Saya berharap untuk memberikan mereka latihan intensif dalam beberapa bulan akan datang," kata Birmingham.