Bekas Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, percaya Timbalan Presiden KOM, Datuk S. M. Muthu, adalah individu sesuai untuk menerajui badan induk olahraga negara itu.

Noorul Ariffin, yang memegang jawatan naib presiden KOM dari 2014 hingga 2017, mengakui walaupun Muthu boleh dianggap veteran, beliau percaya presiden Persatuan Olahraga Selangor itu mampu membawa perubahan, terutama dalam memperkasakan program pembangunan di peringkat akar umbi.

Beliau pada masa sama mengakui penyandang kerusi presiden, Datuk Karim Ibrahim, gagal memainkan peranan dalam melahirkan lebih ramai bakat baru dengan hanya bersandarkan kepada atlet sedia ada selain dikatakan enggan menerima pandangan daripada persatuan olahraga negeri.

"Walaupun Datuk Muthu orang lama dalam KOM, kita mesti memberi peluang kepadanya kerana beliau boleh menerima pandangan daripada persatuan olahraga negeri.

"Contohnya, kita ketiadaan pelari jarak sederhana dan kita kekurangan atlet dalam acara padang, jadi kita perlu ada program pembangunan yang lebih mantap," katanya ketika diminta mengulas mengenai pemilihan pucuk pimpinan KOM bagi penggal 2019-2022, yang akan diadakan sempena mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk olahraga itu, Ahad ini.

Dalam pemilihan berkenaan, Karim akan dicabar Muthu.

Jawatan timbalan presiden pula akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara bekas presiden, Datuk Seri Shahidan Kassim, dan Naib Presiden, yang juga bekas ratu trek kebangsaan, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar.

Bagi empat kerusi naib presiden, seramai lapan individu dicalonkan, termasuk dua penyandang, iaitu Iyaru Muthusamy dan Datuk R. Annamalai.

Seramai 39 perwakilan daripada 13 anggota gabungan layak mengundi dalam pemilihan itu di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Terdahulu, Noorul Ariffin, yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), ditemui selepas mengiringi Exco Selangor, Mohd Khairuddin Othman, melawat bekas pemain Selangor era 1970-an, Zapril Hashim, di kediamannya, hari ini.

-- BERNAMA