Berbasikal Trek Kebangsaan: Fatehah masih berbisa 

Oleh Staff Writer 25 Ogos 2019 944
Berbasikal Trek Kebangsaan: Fatehah masih berbisa 
Ratu berbasikal trek negara, Fatehah Mustapa, terus membuktikan kredibilitinya apabila muncul juara acara pecut (12.104 saat) dan percubaan masa 500 meter dalam Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan di Velodrom Nasional, Nilai, hari ini. 

Fatehah boleh menarik nafas lega setelah mencapai indeks petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN) dengan meraih podium, termasuk dalam Kejohanan Trek Grand Prix (GP) Asia Tenggara, Khamis lalu.

Pelumba dari Terengganu itu memastikan kewibawaannya apabila menewaskan rakan sepasukannya dalam kem kebangsaan yang mewakili Selangor, Farina Shawati Mohammad, apabila menjuarai kedua-dua perlumbaan berkenaan. 

"Catatan masa yang saya lakukan ini lebih laju berbanding dalam GP Asia Tenggara (13.092s) tetapi jurangnya tidaklah begitu jauh.

"Saya harap ini kebangkitan buat diri sendiri dan misi saya selepas ini adalah memburu medal dalam Kejohanan Asia di Korea Selatan (Oktober depan)," katanya. 

Sementara itu, Azizulhasni Awang jelas terlalu ampuh berbanding pelumba lain apabila menepati ramalan untuk meraih emas dalam acara percubaan masa 1km dan pecut (10.654s).

Dalam acara pecut, The Pocket Rocketman yang mewakili pasukan Terengganu menewaskan wakil dari Selangor, Mohammad Fadil Mohammad Zonis, di pentas final.

"Fadil memberi saingan hebat kepada saya, dia memenangi pusingan kedua tetapi saya berjaya bangkit.

"Secara keseluruhannya, ia satu perlumbaan dan latihan yang bagus buat saya. 

"Saya berpuas hati dengan prestasi sendiri dan rakan sepasukan kecuali Muhammad Shah Firdaus Sharom yang kurang sihat," kata Azizulhasni.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Comment