Sukan Olimpik Paris 2024 menjadi impian ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley, untuk melihat Anis Amira Rosidi melayakkan diri.

Jurulatih dari Australia itu menyuarakan pandangan berkenaan selepas melihat prestasi pelumba muda negara itu dalam Kejohanan Berbasikal Trek Grand Prix (GP) Asia Tenggara di Velodrom Nasional, Nilai.

Hari ini, pelumba kelahiran Perlis berusia 21 tahun itu menebus kekalahan dalam acara pecut semalam dengan menaiki podium menerusi acara keirin.

Walaupun hanya meraih pingat perak apabila tewas kepada pelumba Indonesia, Chrismonita Dwi Putri, dalam aksi final, Beasley tetap gembira dengan prestasinya.

Beliau percaya dengan peningkatan prestasi pelumba muda itu sambil menyatakan tidak mustahil untuk melihatnya beraksi dalam temasya Paris 2024.

"Saya sangat gembira dengan prestasi pelumba negara.

"Anis Amira mula membuktikan semakin serasi dengan pasukan kebangsaan.

"Langkah pertamanya dalam program ini adalah mengenai selok-belok perlumbaan dan prestasinya memuaskan hati saya," jelas Beasley.

Bagi Anis Amira, kejayaan meraih perak menerusi keirin merupakan satu kejutan baginya kerana sebelum kejohanan ini bermula, dia tidak meletakkan sebarang sasaran pingat dalam acara tersebut.

"Saya sangat berpuas hati dengan hasil latihan saya sehingga mampu mencapai apa yang diharapkan.

"Mungkin hari ini saya memungut perak, jadi saya akan bekerja keras lagi untuk meraih emas pula," katanya.