Skuad berbasikal trek negara, termasuk Muhammad Shah Firdaus Sahrom, berdepan tugas mencabar dalam Kejohanan Asia Tenggara di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan, apabila jadual pertandingan hari pertama bermula esok diheret hingga jam 12 tengah malam.

Kejohanan Asia Tenggara bakal bermula esok dan halangan terbesar skuad negara adalah jadual saingan yang sangat padat.

Bagi Shah Firdaus, dia tetap optimis dapat menampilkan persembahan yang bermutu.

Atlet berusia 23 tahun itu bakal turun dalam acara keirin yang berlangsung esok sehingga ke perlumbaan final dan seterusnya turun bagi acara kelayakan pecut individu.

"Saya baru sahaja difahamkan dengan jadual yang padat apabila hari pertama kami perlu menghadapi acara keirin hingga perlumbaan final sebelum pusingan kelayakan acara pecut individu," katanya.

"Saingan kelihatan sukar, namun kami akan tetap meneruskan cabaran bagi saingan kali ini."

Turut membuat penampilan dalam saingan Kejohanan Asia Tenggara kali ini adalah The Pocket Rocketman, Azizulhasni Awang, yang beraksi dalam dua acara yang sama.