Pengarah Eksekutif, Northern Corridor Promotions Sdn Bhd, Jasnie Shafie, menang tanpa bertanding jawatan presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) dalam mesyuarat agung dwitahunan SAM bagi penggal 2018-2020, hari ini.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai pengulas sukan sambilan Radio Televisyen Malaysia (RTM), menggantikan Penolong Naib Presiden Kanan Berita dan Majalah Astro Arena, Ahmad Khawari Mohd Isa, yang tidak mempertahankan jawatan presiden yang disandangnya sejak lima penggal lalu.

Pengarang Sukan Kosmo, Asan Ahmad, pula mengekalkan jawatan timbalan presiden SAM selepas menerima 48 undi berbanding pencabarnya, penolong editor sukan New Straits Times, Ajitpal Singh, yang meraih 24 undi daripada 72 anggota SAM yang mengundi.

Penerbit rancangan RTM, Norismadi Abdul Manap, dan Pengurus Foto, Kumpulan Media Karangkraf, Izahar Atan. juga kekal sebagai naib presiden SAM setelah menang tanpa bertanding.

Ketua Meja Sukan Bernama, Farhanah Azmi, pula dipilih sebagai bendahari selepas meraih 42 undi berbanding pencabarnya, Aida Adillah Mat daripada Harian Metro, yang memperoleh 30 undi.

Dalam pada itu, wartawan sukan Bernama, Zuriati Zulmi, merupakan antara lima individu yang dipilih sebagai anggota exco SAM setelah menerima undian tertinggi.

Empat pengamal media lain yang dipilih sebagai anggota exco SAM adalah Mohd Hafizal Hamad (Astro Arena), Mohd Hazreen Nor Mubarak (TV3), Ku Mohd Lufti Ku Yahya (Sports 247) dan Ahmad Fazli Mohd Yadi daripada akhbar Kosmo.


Barisan Exco SAM 2018-2020:

Presiden: Jasnie Shafie (menang tanpa bertanding)

Timbalan Presiden: Asan Ahmad

Naib Presiden: Norismadi Abdul Manap dan Izahar Atan (menang tanpa bertanding)

Setiausaha: Ahmed Faisal Jamal (menang tanpa bertanding)

Bendahari: Farhanah Azmi

Anggota Exco: Zuriati Zulmi, Mohd Hafizal Hamad, Mohd Hazreen Nor Mubarak, Ku Mohd Lufti Ku Yahya dan Ahmad Fazli Mohd Yadi.


-- BERNAMA