Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, mengesahkan bekas atlet dan pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) menjadi keutamaan untuk jawatan timbalan chef-de-mission Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, dengan pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat.

CDM Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Datuk Marina Chin, telah pun dipertanggungjawabkan dengan tugas yang banyak menjelang temasya yang akan membuka tirai pada Ogos.

Justeru, MOM bercadang untuk melantik dua timbalan CDM bagi meringankan beban yang dipikul Marina.

Ketika ini, beberapa calon sedang dikenal pasti, dengan kriteria utama perlu memiliki pengetahuan dan pengalaman luas dalam arena sukan negara.

"Kalau boleh, kami mahukan seseorang daripada warga MSN kerana kami perlu berkerjasama dengan erat.

"Tambahan pula persiapan atlet berada di bawah bidang kuasa MSN, jadi sekiranya kami mendapat pegawai dari MSN, ini akan menyenangkan tugas kami.

"Seorang lagi calon, kalau boleh kami mahukan mereka yang memiliki latar belakang sukan, tidak kira sama ada pegawai dari persatuan negeri atau bekas atlet negara," jelas Beng Choo.

Marina sudah memulakan tugas CDM sejak tahun lalu dengan memantau program latihan atlet.

Namun, bekas atlet olahraga ini tidak mampu untuk memantau kesemua 38 jenis sukan secara serentak, sekaligus memerlukan pembantu.

Pelantikan dua timbalan CDM bukan sesuatu yang baru tatkala Malaysia turut mewujudkan dua jawatan sama ketika Sukan SEA Singapura 2015.