Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Azlan Iskandar, menegaskan beliau berada di pihak yang benar dalam menjalankan tugas dengan amanah selepas dikritik tidak mampu mengendalikan badan berkenaan sehingga timbulnya masalah dana yang kritikal.

Jelas Azlan, beliau tidak pernah lepas tangan dalam mengendalikan masalah kewangan yang dihadapi YAKEB sehingga dilabel pengerusi yang jarang turun padang bagi memberikan bantuan kepada bekas atlet.

Bahkan beliau menolak sama sekali spekulasi yang tersebar menyatakan mana-mana ahli lembaga pengarah yang menjalankan perniagaan perlu menyalurkan sumbangan dana kepada YAKEB.

Hakikatnya, Azlan menafikan bahawa beliau adalah punca sebenar kepada masalah kewangan yang dihadapi YAKEB sepanjang menggalas tugas sebagai pengerusinya.

"Pengerusi terdahulu mendapatkan elaun sebanyak RM5,300 untuk turun padang mendengar luahan bekas-bekas atlet. Saya tidak dapat turun padang kerana mempunyai pekerjaan tetap dan memilih untuk tidak mengambil elaun tersebut," kata Azlan.

Menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada Sabtu ini, Azlan bersedia membentangkan segala usul kewangan yang telah digunakan serta perancangan seterusnya untuk menyeleraskan dana terbaru yang telah diterima daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebanyak RM250,000.

"AGM adalah perjumpaan untuk semua pihak mengajukan pertanyaan. Saya tidak mempunyai apa-apa yang ingin diselindungkan. Semua pihak akan dapat melihat perbelanjaan yang telah dikeluarkan," jelasnya.