Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, menuntut dua atlet negara, Muhammad Aznil Bidin dan Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad, membuktikan kebolehan mereka dengan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ayub mengambil keputusan drastik pada Mei tahun lalu untuk tidak menghantar skuad negara menyertai sebarang kejohanan antarabangsa susulan kes doping yang melanda atlet persatuan itu.

Dengan prestasi cemerlang Aznil dan Azroy yang merangkul pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast 2018, Ayub mahu mereka menjaga nama baik negara selepas diberi kelonggaran untuk menyertai kejohanan antarabangsa tahun ini.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu atlet yang dilahirkan badan induk itu memandang sebelah mata terhadap peraturan doping yang ditetapkan selain mahu mereka menjaga disiplin bagi memajukan sukan negara.

"Kami telah membuat keputusan dalam Mesyuarat Exco PABM di Sabah baru-baru ini untuk memberikan kelonggaran kepada kedua-dua atlet itu menyertai kejohanan antarabangsa bagi mengutip mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Mereka akan bermula dengan menyertai kejohanan di Thailand bulan depan.

"Kami berharap mereka akan memberikan aksi terbaik memandangkan kelonggaran itu telah diberikan kepada mereka," katanya.

Sementara itu, Ayub mengakui pihaknya tidak terkesan dengan kehilangan beberapa atlet elit negara ekoran masalah doping kerana badan induk itu kini sudah mempunyai ramai pelapis yang berkualiti.

"Kami mempunyai ramai atlet yang lebih berdisiplin dan berpotensi.

"Kami kehilangan seorang atlet tetapi masih mempunyai sepuluh yang lain.

"Dengan itu, atlet sedia ada perlu mengekalkan disiplin dalam sukan angkat berat ini," katanya.