Sandaran utama dalam acara renang, Welson Sim, akhirnya mencapai sasaran peribadi lima pingat emas dalam penampilan pertamanya dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2018 setelah membantu Malaysia memenangi acara 4x200 meter gaya bebas lelaki, hari ini.

Skuad renang negara terus unggul untuk menambah dua lagi pingat emas di Pusat Akuatik Wunna Theikdi di Nay Pyi Taw, Myanmar.

Emas pertama dihasilkan oleh Keith Lim dalam acara 100m kuak dada sementara acara seterusnya yang menjadi tumpuan, 4x200m gaya bebas menyaksikan Malaysia mempertaruhkan sandaran utama yang terdiri daripada Welson, Foong Wei Tze, Chan Jie dan Tern Jian Han tidak mengecewakan apabila melakukan catatan 7:38.82 untuk emas kedua.

Pingat perak menjadi milik Thailand, disusuli Indonesia gangsa.