Skuad olahraga negara memungut satu lagi pingat emas dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2018 hari ini menerusi atlet lompat kijang negara, Muhd Hakimi Ismail, untuk menjadikan jumlah pungutan keseluruhan kontinjen Malaysia kepada 13 emas setakat ini.

Hakimi turun sebagai penyandang juara untuk dua edisi berturut-turut sejak 2014 di Palembang.

Menepati sasaran sebagai peserta pilihan, catatan 15.77 meter sudah memadai untuk Hakimi membawa pulang emas buat kali ketiga berturut-turut di Nay Pyi Taw, Myanmar, meskipun ia jauh daripada catatan yang dilakukannya dalam edisi 2016 di Singapura, iaitu 16.28 meter.

Menambah keceriaan kem kebangsaan ialah rakan sepasukan, Nik Fariezal Erman Nik Abdullah, yang meraih perak setelah melakar 15.44m.

"Oleh kerana kejohanan ini berlangsung di penghujung tahun, ia menyebabkan beberapa atlet gagal menjelmakan kemampuan sebenar.

"Apa yang paling penting adalah memenangi emas," kata Hakimi.

Dalam perkembangan berasingan, acara pecut 200 meter wanita menyaksikan ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, sekadar berpuas hati untuk meraih gangsa dengan catatan 24.32 saat.

Zaidatul Husniah tewas kepada pemenang pingat emas Sukan SEA 2015 dari Singapura, Veronica Shanti Pereira, yang membuat penampilan pertama dalam temasya ini, manakala perak milik atlet Vietnam, Nguyen Thi Oanh, yang sebelum ini memenangi emas dalam acara jarak jauh 5,000m dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Saya sudah memberikan aksi 100 peratus, saya akan cuba berikan saingan yang lebih baik dalam acara 100m pula selepas ini.

"Pencapaian hari ini tidak akan melemahkan semangat saya untuk menghadapi acara yang seterusnya," kata Zaidatul Husniah.

Sementara itu, raja pecut Sukan Malaysia (Sukma) 2018, Muhammad Aqil Yasmin, tidak gentar untuk berentap dengan bekas jaguh rantau Asia Tenggara, Jirapong Meenapra, apabila memberikan tentangan sengit dalam acara pecut 200m lelaki.

Aqil yang membuat penampilan pertama di pentas ini berpuas hati dengan catatan 21.26 saat untuk meraih gangsa, manakala Jirapong merangkul emas dan perak juga milik Thailand menerusi Nutthapong Veeravongratansil.