Kekal sebagai pemain nombor satu negara, menyertai skuad Piala Davis dan Sukan Sea Malaysia serta meningkatkan kedudukan dalam ranking ATP dunia merupakan antara agenda dan azam anak Sarawak, Mohd Assri Merzuki, pada tahun hadapan.

Jaguh muda itu yang genap berusia 22 tahun esok, kini kekal sebagai pemain nombor satu negara selepas menjuarai Terbuka Masters Lelaki dan Masters Remaja Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) yang diadakan di Pusat Tenis Kebangsaan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam perlawanan tersebut, Assri tidak berhadapan masalah untuk menundukkan lawan yang juga rakan karibnya dari Selangor, Ahmed Deedat Abdul Razak, 7-5, 6-2 dalam aksi final, seterusnya membawa pulang wang tunai RM4,000 berserta trofi.

Menurut Assri, pada tahun hadapan, dia menyasarkan beberapa perlawanan kompetitif, termasuk menyertai skuad negara ke Sukan SEA, Piala Davis selain menyertai pertandingan ATP untuk mengutip lebih banyak mata ranking.

“Ini temasuk bermain dalam Pertandingan Men’s Future di Turki pada Julai tahun depan,” katanya yang mengutip satu mata ATP perseorangan dan enam mata ATP beregu menerusi pertandingan di Turki tahun lepas.

Ketika ini, Assri menduduki ranking ke-1,862 ATP untuk perseorangan lelaki dan 1,553 untuk beregu lelaki.

Dua tahun lalu, Assri pernah berada dalam senarai 1,333 perseorangan lelaki manakala pada Februari 2012, menduduki ranking 795 dunia dalam acara beregu lelaki.

Assri, yang bermain tenis sejak berusia lapan tahun, merupakan produk program pembangunan Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) yang dilatih selama 10 tahun hingga bergelar pemain profesional.

Malah, anak emas Presiden SLTA, Datuk Patrick Liew, ini pernah menjalani latihan intensif selama empat tahun di Amerika Syarikat dan Romania bagi meningkatkan kemahirannya.