Jaguh boling negara, Mohd Rafiq Ismail, dan Amy Kwan Dict Weng dari sukan gimrama menepati ramalan selepas dinobat selaku Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan dalam majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2018 di ibu negara, sebentar tadi.

Rafiq mengungguli senarai lima calon Olahragawan yang turut menampilkan atlet berbasikal trek, Mohd Azizulhasni Awang, Mohd Nafiizwan Mohd Adnan (skuasy), Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah (bina badan) dan Mohd Fauzi Kaman Shah (pelayaran).

Berdasarkan pencapaian tahun lalu, Rafiq mencipta sejarah tersendiri menamatkan kemarau 39 tahun apabila berjaya membawa pulang pingat emas dalam acara perseorangan Kejohanan Boling Lelaki Dunia di Hong Kong (2018), menewaskan pemenang pingat emas 2014, Dan MacLelland dari Kanada, 217-204 jatuhan pin.

Kali terakhir Malaysia menang pingat emas kategori lelaki dalam kejohanan itu ialah pada 1979 di Manila menerusi gandingan trio J.B Koo, Allan Hooi dan Edward Lim.

Sementara itu, kemenangan ratu gimrama negara, Amy, sebagai Olahragawati Kebangsaan merupakan satu kejutan.

Kejayaan gimnas negara berusia 24 tahun itu menyaksikan dia mengecewakan Siti Zalina Ahmad yang merangkul emas berpasangan boling padang Sukan Komanwel Gold Coast, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman yang meraih emas trios boling Sukan Asia tahun lalu di samping Tan Li Lian, pemenang dua emas Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia di Chiangmai, Thailand dan pemenang pingat perak perseorangan skuasy Sukan Asia, S. Sivasangari.

Sementara itu, Olahragawan Para 2018 dianugerahkan kepada Ridzuan Puzi yang jelas menikmati musim yang cemerlang tahun lalu.

Bukan sahaja Ridzuan meraih tiga pingat emas dalam Sukan Para Asia Jakarta tahun lalu tetapi juga mencatat catatan masa peribadi terbaik, 11.87 saat, dalam acara100 meter T36.

Selain itu, Ridzuan turut dinobatkan Atlet Para Lelaki Terbaik Asia 2018 dan menjadi warganegara Malaysia pertama dianugerahkan gelaran berprestij tersebut.

Olahragawati Para Negara jatuh kepada Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin yang berjaya menyumbang pingat emas Sukan Para Asia dalam acara 400m T20 (58.69s).

Bukan sahaja Siti Iasah menyumbang emas tetapi dia juga memperbaiki rekod temasya milik pelari Jepun, Mai Iwakiri, di Incheon, Korea Selatan 2014.

Kecemerlangan skuad terjun wanita negara sepanjang tahun lalu amat mengagumkan, dengan gandingan Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong mendominasi pencapaian terjun di pentas antarabangsa.

Emas dalam Sukan Komanwel dan juga emas Kejohanan Terjun Siri Dunia di Montreal, Kanada tahun lalu melayakkan Pandelela-Jun Hoong dinobat sebagai Pasukan Wanita Terbaik Kebangsaan.

Skuad boling lelaki negara yang terdiri daripada pasangan Adrian Ng dan Tun Ameerul Luqman Al-Hakim Tun Hasnul Azam merangkul anugerah Pasukan Lelaki Terbaik Kebangsaan.

Pencapaian hebat mereka memenangi emas beregu dalam Kejohanan Lelaki Dunia di Hong Kong penghujung tahun lalu membolehkan mereka ditabal pemenang menewaskan pasukan hoki lima sepasukan negara dalam Sukan Olimpik Belia (YOG) di Argentina dan juga pasukan skuasy lelaki Sukan Asia.

Anugerah Jurulatih Lelaki Kebangsaan pula menjadi milik ketua jurulatih skuad boling tenpin negara, Holloway Cheah, yang baru mengumumkan persaraannya.

Piala dan juga cek hadiah kemenangan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan masing-masing menerima sebuah piala, piala iringan, sijil dan hadiah wang tunai RM20,000.

ASN yang diperkenalkan sejak 1966 adalah satu pengiktirafan tertinggi kerajaan bagi menghargai kecemerlangan sepanjang tahun yang dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan kebangsaan.

Senarai penuh pemenang anugerah:

Olahragawan Kebangsaan: Muhammad Rafiq Ismail

Olahragawati Kebangsaan: Amy Kwan Dict Weng

Olahragawan Paralimpik Kebangsaan: Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi

Olahragawati Paralimpik Kebangsaan: Siti Noor Iasah Mohd Ariffin

Pasukan Lelaki Kebangsaan: Boling tenpin - Adrian Ang, Tun Ameerul Luqman Al Hakeem Tun Hasnul Azam

Pasukan Wanita Kebangsaan: Akuatik terjun - Cheong Jun Hoong, Pandelela Rinong

Jurulatih Lelaki Kebangsaan: Holloway Cheah (boling tenpin)

Anugerah Kepimpinan Sukan: Datuk Sieh Kok Chi (Majlis Olimpik Malaysia) dan Dr S. Radha Krishnan (Persatuan Sukan Orang Buta Malaysia)

Anugerah Khas: Hanifah Yoong Yin Fah (Ski air) dan Datuk Rahim Razali