Boling tenpin membuktikan mengapa ia sukan terbaik di negara ini selepas mendapat pengiktirafan dalam Majlis Anugerah Sukan Negara 2018 di ibu negara malam tadi dengan ditunjangi gelaran jurulatih terbaik yang diraih Holloway Cheah.

Holloway nama yang tidak asing dalam sukan boling tenpin dan pengaruhnya sudah dinikmati Malaysia sejak menjadi jurulatih pada 2001.

Tahun 2018 menyaksikan skuad negara cukup menyinar dalam Sukan Asia Indonesia (Ogos) dan Kejohanan Lelaki Dunia di Hong Kong, Disember lalu.

Rafiq Ismail dinobat sebagai Olahragawan Kebangsaan 2018 manakala Adrian Ang dan Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam diangkat sebagai pemenang Anugerah Pasukan Lelaki Terbaik.

Bagi Holloway, kejayaan itu memudahkan peralihan kuasanya kepada Ben Heng selepas dia merancang untuk bersara dalam masa terdekat.

"Harap-harap begitulah kerana saya sedang mencuba untuk menaikkan pembantu saya (Ben Heng).

"Kami memiliki sistem yang baik dalam Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) untuk mengetengahkan bakat-bakat baru.

"Kerana itu anda dapat saksikan kami sentiasa memiliki pemain baru yang menyerlah.

"Salah satu daripadanya adalah Tun Hakim.

"Saya berasakan kami akan sentiasa memberikan kejutan," katanya.

Dalam pada itu, Holloway meramalkan skuad wanita negara akan meneruskan kesinambungan kejayaan di pentas Kejohanan Dunia.

"Kami sedang berusaha dengan sangat gigih dan kesemua pemain telah meletakkan sasaran mereka.

"Itulah sasaran yang kami mahukan dan kami sedang berusaha untuk mendapatkannya.

"Saya berharap kami dapat mempertahankan kejuaraan kami kerana di peringkat antarabangsa, setiap peserta amat kuat dan adakalanya anda tidak tahu apa yang akan berlaku.

"Bagaimanapun, kami sedang berusaha untuk mendapatkannya," tambahnya.