Kontinjen negara Filipina dan Vietnam antara yang tiba hari ini sebagai persiapan untuk meraih pingat emas dalam Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) Ke-11.

Skuad bola keranjang Filipina antara yang tiba awal pagi tadi untuk membuat persiapan terakhir dan menguji gelanggang sebelum kejohanan bermula Jumaat ini.

Jurulatih skuad bola keranjang Filipina, Michael Tiongco, mendedahkan penglibatan tiga pemain utama skuad kebangsaan bagi mengukuhkan pasukannya menjelang aksi menentang Malaysia dan Thailand.

"Kami mempunyai tiga pemain elit dalam skuad ini dan dalam masa yang sama, semua pemain adalah mantap dan sudah matang," ujarnya.

Pemain bola keranjang Filipina, Gerry Abadiano, berkata dengan latihan intensif yang dijalani setiap hari, mereka kini di tahap terbaik untuk menghadapi kempen ASG.

"Kami akan berdepan lawan yang sukar.

"Ini kerana sebilangan pemain kami tidak tahu keupayaan lawan tetapi saya yakin kami akan memenangi emas selepas menjalani persiapan rapi," katanya.

Sementara itu, Indonesia sudah bersiap-sedia untuk menganjurkan temasya edisi ke-11 itu dengan menaik taraf sembilan venue sedia ada.

Republik itu lebih berjimat cermat selepas menganjurkan Sukan Asia, tahun lalu.

Malah, Indonesia sudah berpengalaman menganjurkan ASG selepas kali pertama melakukannya di Surabaya pada 2012.

"Indonesia sudah bersiap-sedia untuk bertindak selaku tuan rumah, apa lagi mendapat sokongan luar biasa daripada Malaysia.

"Sudah tentu kami akan lebih bergembira dan kami berjanji akan berikan kesan yang baik kepada tetamu ASG," kata Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi.